Cara Interpol bekerja Interpol

IĀ­nterpol berbeza daripada kebanyakan agensi penguatkuasaan undang-undang. Agen-agen Interpol tidak membuat penangkapan dan tiada penjara bagi penjenayah yang ditahan. Agensi ini berfungsi sebagai penghubung pentadbiran di antara agensi penguatkuasaan undang-undang di negara anggota dengan memberikan bantuan komunikasi dan pangkalan data. Perkara ini penting dalam memerangi jenayah antarabangsa kerana perbezaan bahasa, budaya dan birokrasi boleh menyukarkan pegawai daripada negara berbeza untuk bekerja bersama. Contohnya, pegawai Polis Diraja Malaysia menjejaki penjenayah berada di Itali dan mereka tidak tahu siapa harus dihubungi dalam pasukan polis di Itali. Dan sama ada polis di Itali mempunyai jurisdiksi dalam kes itu atau siapa dalam kerajaan Itali yang perlu diberitahu tentang penglibatan PDRM. PDRM boleh menghubungi Biro Interpol di Itali yang menjadi penghubung di antara agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia dan Itali.

Pangkalan data Interpol membantu pegawai penguatkuasa undang-undang mendapat gambaran jenayah antarabangsa. Walaupun agensi lain mempunyai pangkalan data jenayah yang tuntas, maklumat itu jarang melangkaui sempadan antarabangsa. Interpol boleh menjejaki penjenayah dan trend jenayah di seluruh dunia. Mereka menyimpan koleksi cap jari dan gambar muka, senarai orang dikehendaki, sampel DNA dan dokumen perjalanan. Pangkalan data dokumen perjalanan yang hilang dan dicuri mereka saja mengandungi lebih daripada 12 juta rekod. Interpol juga menganalisis semua data ini dan memberikannya maklumat mengenai trend jenayah kepada negara anggota.

Rangkaian komunikasi dunia Interpol yang selamat membolehkan agen dan negara anggota berhubung sesama sendiri pada bila-bila masa. Rangkaian ini dikenali dengan I-24/7 menyediakan akses kepada pangkalan data Interpol. Sementara Biro Pusat Kebangsaan adalah akses utama ke rangkaian ini, beberapa negara anggota memperluaskannya kepada kawasan penting lain seperti lapangan terbang dan pintu masuk sempadan. Negara anggota juga boleh mengakses pangkalan data negara anggota lain melalui sistem I-24/7.

Jika berlaku bencara antarabangsa, serangan pengganas atau pembunuhan orang ternama, Interpol boleh menghantar pasukan mereka. Pasukan ini menawarkan pelbagai kepakaran dan akses ke pangkalan data bagi membantu mengenal mangsa, mengenal suspek dan penyebaran maklumat kepada agensi penguatkuasaan undang-undang negara lain. Dan dengan permintaan pihak berkuasa tempatan, mereka boleh bertindak sebagai pusat operasi pemerintahan dan logistik bagi menyelaras agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang terlibat dalam sesuatu kes.